EKSLUSIF : PROTON dan Penganalisa Tempatan

TERPANGGIL untuk saya menulis tentang tajuk di atas selepas membaca laporan akhbar di Utusan Malaysia hari ini (24 Januari 2012). Laporan akhbar tersebut ialah mengenai wawancara pemberita dengan seorang penganalisa ekonomi dari FA Securities Bhd, Zakie Ahmad dan juga seorang pakar ekonomi, Datuk Dr Norraesah Mohamed, yang juga pengerusi eksekutif MYEG). Menurut Zakie, penggabungan PROTON dan DRB-Hicom akan membenarkan PROTON mencari jalan untuk berkongsi teknologi dengan VW, Honda dan Suzuki, kesemuanya rakan perniagaan DRB.

Beliau juga menambah bahawa rakan kongsi PROTON perlu mempunyai modal yang besar dan juga mempunyai teknologi yang tinggi untuk memajukan PROTON. DRB-Hicom juga menurut beliau mampu membawa PROTON ke pasaran luar negara hasil dari bantuan rakan kongsi DRB dan oleh kerana DRB pernah memiliki saham terbesar PROTON suatu ketika dahulu, ini akan memudahkan lagi DRB untuk membawa PROTON maju ke hadapan.

Saya rasa, mungkin penganalisis ini kurang prihatin tentang industri permotoran. Terima kasih kepada PROTON, rakyat Malaysia menjadi begitu “mahir” tentang automotif. Kalau tidak pun, mempunyai perasaan ingin tahu. Inilah yang dikejarkan oleh mantan Perdana Menteri kita dahulu, Tun Mahathir, agar rakyat Malaysia lebih berfikiran secara industrialistik. Namun begitu, industri automotif adalah lebih kompleks dari setakat masalah power window yang sering kali rosak. Apa yang Zakie katakan itu mungkin benar, JIKA pihak DRB-Hicom benar-benar mempunyai talian kuat dengan jenama-jenama automotif tersebut.

Jika kita kaji, DRB-Hicom sebenarnya tidak mempunyai rekod yang menarik dari segi membangunkan sebuah jenama kenderaan. Benar, ia menjadi rakan kongsi kepada Honda, Mercedes-Benz, Isuzu, Suzuki dan Volkswagen tetapi sejauh manakah “kuasa” DRB di dalam syarikat tersebut? Honda Malaysia contohnya, penglibatan DRB tidak lebih dari memudahkan Honda untuk berurusan dengan pihak kerajaan. Lebih kepada mediator.

Pihak pengurusan atasan yang lebih dominan masih datang dari Honda Japan. Baik di kilang di Pegoh, Melaka mahupun di pejabat kecil mereka di Petaling Jaya. Untuk Mercedes-Benz, DRB hanya lebih kepada tuan tanah kepada kilang pemasangan enjin di Pekan. Benar, ada juga muka-muka Melayu yang bekerja di sana tetapi adakah kepakaran mereka yang diberikan oleh Mercedes-Benz AG itu mencukupi? Bagi Volkswagen, DRB mendapat bantuan Perdana Menteri yang mahu menaikkan kampungnya, Pekan.

VW mendapat pelbagai keistimewaan tetapi di dalam dunia industri automotif, VW terkenal dengan sikap sombongnya. Mangsa terbaru mereka ialah Suzuki, di mana presiden Suzuki memaki hamun sikap VW secara terbuka di media antarabangsa. Di Malaysia, VW nampaknya menggunakan peluang ini untuk meraih pelbagai kesitimewaan. Dengarnya, pihak Naza yang sering mendapat layanan istimewa dari pihak kerajaan turut mengadu akan keistimewaan yang dikecapi oleh VW. Adakah VW benar-benar jujur untuk menaikkan industri automotif negara atau hanya mahu jumlah jualan yang tinggi?

DRB baru sahaja mendapat hak menjual model VW CKD, satu pencapaian yang menarik dan boleh dikatakan bijak, tetapi adakah negara mendapat sedikit bantuan teknologi? Syarikat automotif yang mempunyai pegangan majoriti oleh DRB-Hicom sebenarnya ialah Suzuki Automobile Malaysia. Dua jika kita masukkan sekali arwah Hicomobil yang dulunya menjual Chevrolet. Adalah prestasi mereka mantap? Suzuki masih lagi menjual Swift model lama walhal model terbaru sudah hampir dua tahun di dalam pasaran.

Model Alto di bawa masuk dari India dan langsung tidak memberikan apa-apa pulangan kepada rakyat Malaysia dari segi TOT (transfer of technology) ataupun vendor. Model Swift yang dipasang di Pekan juga mempunyai peratusan komponen Jepun yang tinggi. Model sedan Kizashi yang digembar-gemburkan akan dilancarkan masih tidak terlancar. Hicomobil pula dikudakan oleh pemegang AP, dan nilai jual balik jenama tersebut yang tidak memberangsangkan serta perangan sombong General Motors Asia Pasifik turut menjadi punca kejatuhan jenama tersebut di bawah DRB-Hicom.

Persoalannya di sini ialah, bagaimana DRB-Hicom yang mempunyai profil sebagai pengimport, pemasang dan pengedar kenderaan mampu membantu PROTON untuk menjadi pengeluar kereta yang baik? Zakie dan juga Datuk Dr Norraesah berkata, Honda, VW dan Mercedes-Benz mampu membantu. Boleh saya tanya, apa hasilnya jika mereka membantu PROTON? Apa mudah untuk sebuah syarikat memberikan teknologi yang bernilai jutaan Euro kepada sebuah syarikat baru? Kenapa pula Honda dan Suzuki mahu menolong PROTON menjual model mereka di pasaran antarabangsa? Bukankah itu akan menjadi tindakan bunuh diri kerana PROTON bakal menjadi pesaing mereka bagi model-model entry level? Bagaimana pula sejarah lama DRB yang dahulunya memiliki PROTON mampu membantu PROTON sekarang?

Saya sokong DRB mempunyai kepakaran mereka yang tersendiri dari segi business mangement and no-nonsense attitude (terutama dari teraju utamanya yang cukup berdisiplin) tetapi yang akan membantu DRB untuk mengubah PROTON bukanlah sejarah pemilikannya, tetapi lebih kepada cara pengurusan. Datuk Dr Norraesah berpendapat, cabaran utama PROTON ialah untuk memastikan harga dan teknologi model PROTON akan menjadi lebih kompetitif. Saya bersetuju bahawa cabaran PROTON ialah memastikan teknologi dan harga produk mereka lebih berdaya saing. Tetapi perlu difahamkan, bila jenama lain menjual jutaan unit setahun, Proton menjual lebih kurang suku juta unit dalam tempoh yang sama.

Kita semua faham kenapa barangan di Mydin murah – kerana ia dijual dalam kuantiti yang banyak. In bulk. PROTON umpama membeli komponen di 7-Eleven sedangkan syarikat lain membeli barangan yang sama di Mydin. Jika PROTON tidak berubah, akan ada hanya satu cara sahaja untuk PROTON menjadi kompetitif – perlindungan pasaran oleh kerajaan. Suka atau tidak, itulah hakikatnya. Datuk Dr Norraesah juga berkata, DRB mampu membantu dari segi rekabentuk dan penyelidikan model terbaru PROTON agar menjadi lebih kompetitif berbanding dengan produk negara lain.

Mungkin Datuk Dr boleh berkongsi di manakah kepakaran DRB dari segi R&D dan design. Setahu saya, DRB-Hicom hanya ada satu sahaja jenama automotif yang dimiliki sepenuhnya oleh DRB-Hicom – Modenas. Adakah teknologi dan kepakaran Modenas mampu membantu PROTON? Ke mana hala tuju PROTON Teringat bila berbual dengan seorang wartawan permotoran tempatan dahulu di mana beliau berkata jika PROTON dicabut tiang kilangnya dan dipasang di Thailand atau negara lain, pasti PROTON akan menjadi syarikat automotif yang lebih hebat dalam masa lima tahun. Mungkin ada benarnya kerana beliau cuba memberikan penekanan masalah PROTON sebagai sebuah GLC (Government-Linked Company) yang sering menjadi kambing hitam pihak-pihak kementerian yang perlukan sumbangan modal untuk acara nasional atau bila memerlukan tajaan kenderaan.

Dengan kemasukan DRB-Hicom sebagai tuan punya syarikat, diharapkan pihak-pihak kementerian ada rasa malu untuk mengganggu PROTON. Biarlah PROTON menumpukan sepenuh perhatian terhadap core business mereka – membuat kenderaan. Bukannya menjadi penaja pertandingan badminton, bukannya untuk jadi penaja kenderaan bagi parti politik dan bukannya untuk jadi sasaran kelemahan kerajaan. Pekerja PROTON juga perlu sedar, tiada syarikat kenderaan di dalam dunia yang mampu hidup di dalam satu pasaran sahaja. Ia perlu lebih global, dan untuk itu, ia perlu lebih penelitian.

Bukan gah dengan anugerah tempatan yang hanya laku di dalam negara sahaja. Kilang yang dibiarkan beroperasi jauh di bawah kapasiti maksimum adalah bukti kelemahan pengurusan. Tak pernah lagi saya melilhat kilang kenderaan yang separuh kosong tidak digunakan. Ini perlu diatasi kerana di mata pemain industri ini seperti Jepun dan Jerman, PROTON tidak serius di dalam pengurusan syarikat. PROTON perlu tumpukan perhatian kepada pakar-pakar automotif mereka yang terbukti berjaya bila mereka dicuri oleh syarikat lain. Di dalam syarikat kenderaan global, kemahiran di dalam R&D diberi tumpuan. Ini ialah kerana tulang belakang dan nadi syarikat automotif terletak di dalam kumpulan R&D.

Jika PROTON tetap membiarkan mereka ditarik keluar untuk bekerja dengan syarikat vendor atau syarikat automotif yang lain, perlu ada kajian kenapa ada aliran keluar skil-skil penting ini. Dari segi penjenamaan dan juga pemasaran, PROTON dilihat masih lagi terkial-kial ingin meletakkan nama mereka sebaris dengan Edaran Tan Chong Motors (Nissan), UMW Toyota, Honda Malaysia dan lain-lain di Malaysia. Dalam proses itu, cukup gelihati kerana PROTON terlupa ia ialah sebuah syarikat PENGELUAR kenderaan, bukannya pengedar kenderaan seperti saingannya di Malaysia. Jika PROTON masih melihat UMW Toyota sebagai pesaing dan bukan Toyota Motors Corporation sebagai seteru utama, maka ia akan tetap menjadi jaguh kampung. Rakyat Malaysia sebenarnya sudah lama dibiarkan hidup di bawah tempurung.

Harga minyak yang disubsidikan ialah contoh utama mengapa kita tidak mampu bersaing di pasaran global. PROTON tidak terlalu tertekan untuk mendapat enjin yang lebih menjimatkan minyak kerana harga minyak di pasaran utamanya (iaitu pasaran tempatan) adalah lebih rendah dari harga sebenar minyak global. Tanpa enjin yang lebih baik, bagaimana PROTON mahu berdaya saing di pasaran global seperti China atau Eropah di mana harga minyak lebih mahal. Mungkin ada bagusnya jika pekerja PROTON dipaksa membayar harga minyak global, barulah mereka memahami kepentingan sebuah enjin yang menjimatkan minyak. Saya ingin memberi cadangan kepada DRB-Hicom agar membawa balik tumpuan PROTON kepada produk utama mereka – kenderaan.

PROTON menghabiskan jutaan Euro untuk Lotus, sebuah jenama yang tiada kena mengena dengan teknologi kenderaan entry level yang dihasilkan oleh PROTON. PROTON juga menghabiskan jutaan Ringgit untuk pasukan Rali Dunia mereka, sedangkan pulangan balik tidak setimpal. PROTON juga tidak menggunakan publisiti dari Rali Dunia itu ke tahap global, sesuatu yang mengecewakan. Paling menarik, jualan kereta Satria Neo jugak tidak begitu memberangsangkan. Malah, model skala (scale model) Satria Neo S2000 WRC juga tidak wujud di dalam pasaran. Apa gunanya kita masuk WRC jika publisiti bertumpu ke pasaran yang sudah kuat, atau ke pasaran yang terlalu asing bagi PROTON? Mungkin konsep PERT ingin diterapkan di sini, tetapi PROTON juga perlu ingat, motorsports ialah satu sukan yang mahal dan aliran duit keluar selalu menjadi tidak terkawal.

Bukankah lebih menarik jika duit yang dilaburkan untuk penjenamaan itu digunakan untuk menghasilkan produk yang lebih baik. Bila PROTON sudah ada produk yang lebih baik, barulah dilakukan penjenamaan. Buat apa kita lakukan branding bila orang akan datang ke showroom untuk melihat produk yang tidak segah namanya? Lihat sahaja kepada Hyundai-Kia, syarikat gergasi Korea yang secara asasnya bermula sama dengan PROTON. Hyundai-Kia sedar mereka perlukan peningkatan dari segi kualiti dan teknologi. Ini terbukti di dalam produk Kia Optima mereka yang lama. Kualiti sudah jauh meningkat dan teknologi sudah on-par dengan barisan gergasi lain.

Sayangnya, jenama itu terlalu lemah untuk menarik orang ke dewan pameran bagi menghayati sendiri kemajuan syarikat Korea itu. Oleh kerana itu, Hyundai-Kia memberikan tumpuan sepenuhnya kepada rekabentuk. Dan ternyata, rekabentuk yang menarik membawa pembeli yang dahulunya lari jauh dari jenama Korea untuk membeli produk terbaru mereka dan merasakan sendiri kualiti pemasangan yang jauh lebih baik dari sesetengah jenama Jepun. Ini ialah satu template yang sudah tersedia untuk ditiru oleh PROTON. Mungkin sebelum PROTON membuat proses penjenamaan, perlu dilakukan proses management overhaul dan gunakan mereka yang terbukti di dalam bidang automotif.

Pada hemat saya, DRB-Hicom tetap menjadi pilihan utama walaupun kepakaran mereka terbatas. Namun begitu, mereka tahu apa benchmark syarikat automotif global dan itu ialah sesuatu yang pihak pengurusan atasan PROTON tidak ada. Sebagai “taukey” baru, pastinya DRB-Hicom perlu bersikap garang. Kepada orang lama PROTON yang berlindung di bawah payung, payung itu bakal ditarik balik. Kepada mereka yang ada “hanky-panky” business di dalam PROTON, bersiap-sedia kerana pengurusan DRB memang akan bertindak keras. PROTON sebenarnya masih milik negara, cuma rakyat sudah jelak memberikan peluang kepada PROTON. Jangan harapkan sentimen nasionalistik untuk meraih jualan. Taktik lapuk itu hanya akan memakan diri sendiri. Rakyat kini lebih mementingkan kualiti produk dan diharapkan PROTON baru ini akan memberikan sesuatu yang lebih berdaya saing.

* Penulis sudah bergelumang di dalam bidang automotif lebih dari 15 tahun, dari bergaul dengan pekerla kilang pemasangan sehinggalah ke pemimpin syarikat automotif dunia.