funtasticko design

http://funtasticko.net

Pandu Uji: Suzuki Kizashi Sport

20 Komen

Kizashi berahi untuk yang berani!

Oleh Yanti Zolidia Kassim, Auto Anda/Funtastickodesign

DUA puluh tahun dahulu, sebut sahaja Suzuki dan akan terbayang model Jimny SJ410 dan kemudian SJ413. Diibaratkan sebagai lipas kudung di kalangan pemain off-road, Jimny memang hebat dibandingkan dengan saiznya. Sesuai dikatakan, ia adalah ikon dalam arena 4X4.

Kemudian datang model Vitara, sati lagi SUV tetapi lebih kepada mereka yang memandu di sekitar bandar. Saya berani rumuskan model pertama Vitara itu yang memulakan kegilaan orang muda untuk menggunakan SUV yang stylo menggantikan kereta.

Sejak kebelakangan ini, Suzuki lebih menempa nama di dalam segmen kereta kecil – Swift contohnya yang sungguh popular sehinggakan ia dipasang di Pekan. Wakil Suzuki di Malaysia, Suzuki Malaysia Automobile (SMA) turut menawarkan model-model Grand Vitara, SX4 dan SX4 sedan, namun Swift menjadi pilihan bagi mereka yang mahukan sebuah kenderaan yang lebih menarik berbanding dengan Perodua Myvi.

Baru-baru ini, SMA melakukan kejutan dengan melancarkan model Kizashi yang bersaing dengan pemain segmen D yang lain seperti Toyota Camry, Nissan Teana dan Honda Accord. Melompat segmen C dan terus ke D, ramai yang merasakan sedikit terkejut tetapi sebenarnya, model Kizashi ini sudah lama dilancarkan di tempat lain.

Ia mula diperkenalkan semasa pameran automotif New York pada tahun 2009. Malah, SMA sudah membawa Kizashi ini untuk kajian pasaran dalam tahun 2010 lagi. Apa yang saya dengar, rundingan dengan Kementerian Kewangan mengenai cukai untuk Kizashi ini berlarutan sehinggalah ke tahun ini.

Apa pun, pada firasat saya, rundingan itu tidak begitu berhasil kerana Kizashi masih dijual pada harga yang sedikit mahal, RM147,888 untuk model SDLX dan RM158,188 untuk model Sport. Walaupun kapasiti enjinnya besar (2.4 liter), saiz Kizashi ini lebih menyamai model di dalam segmen C. Contohnya, jarak roda ialah pada 2,700mm, sama dengan panjang jarak roda Honda Civic. Namun, Kizashi mempunyai badan yang lebih panjang dan lebar dari Civic ataupun Toyota Altis, cuma masih kecil berbanding dengan Toyota Camry dan  sebagainya.

Suzuki menggunakan resipi Eropah yang digabungkan dengan tradisi Jepun untuk penciptaan Kizashi ini. Menurut Suzuki, Kizashi direka untuk memberikan pemanduan gaya Eropah tetapi dengan kejuruteraan dan kualiti pembinaan Jepun. Ini satu resipi yang pada asasnya kukuh – kereta yang boleh dipandu sesedap sebuah kereta Eropah tetapi lasak seperti sebuah kenderaan Jepun!

Dari segi luaran, Kizashi nyata lebih garang dari Camry dan Teana. Mungkin boleh dicabar oleh Mazda6 tetapi dengan saiz yang lebih kompak dan rim aloi 18-inci (model pandu uji ialah dari versi Sport) yang nampak memenuhi ruang roda, Kizashi seperti sebuah muscle-car Amerika!

Tidak seperti Toyota, Nissan dan Honda, Kizashi menggunakan beberapa panel krom yang menarik perhatian. Dari pandangan sisi, depan dan belakang, Kizashi nyata agresif dan memang nampak menggiurkan! Bahagian kabin turut menampilkan rekaan yang kemas dan segak. Tiada kelihatan warna-warna pastel lembut yang lebih menarik minat guru pencen. Plastik berkualiti tinggi warna hitam dengan inserts besi aloi memang menaikkan ciri Eropah. Inilah yang dimaksudkan dengan premium kerana tiada plastic bercat (painted plastics) yang digunakan secara meluas. Apa yang kelihatan seperti besi memang besi, dan susun atur suis dan butang serta alat kawalan lain dapat dicapai mudah oleh pemandu.

Walaupun moden, tolok meter pula diberikan sentuhan ala klasik – memang terpukau saya jadinya. Dari segi teknikal, Suzuki Kizashi ini dijana oleh enjin J24B dengan sesaran 2,393cc, 4-silinder dengan 16 injap DOHC. Menghasilkan 176hp dan 230Nm, ia lebih berkuasa dari Mazda6 2.5L tetapi berbanding dengan Toyota Camry 2.5L yang bakal dilancarkan kelak, Kizashi mempunyai tenaga yang sedikit berkurangan (tetapi Camry jauh lebih besar DAN, lebih berat!).

Untuk model Sport, SMA memberikan senarai aksesori yang boleh dikatakan menarik – kerusi dengan balutan kulit mewah, sistem keyless start/stop, sistem audio dengan subwoofer, alatan keselamatan seperti ABS, ESP, EBD, BA, Isofix dan Hill Hold Control.

Pemanduan saya bersama Kizashi boleh dikatakan lengkap. Ia dibawa bermain di celahan bangunan konkrit di sekitar Kuala Lumpur, kemudian menyusuri jalan lama dari Dengkil hingga ke Port Dickson dan kemudia bermain di lebuhraya PLUS dari Pedas/Linggi kembali ke ibukota. Laluan lebuhraya bandar seperti Kesas, Elite, Sprint turut digunakan dan selepas empat hari, saya yakin ini ialah sebuah kereta sedan yang sesuai untuk eksekutif muda yang masih bujang, ataupun yang baru mula berkeluarga.

Ruang but sebesar 461 liter memadai untuk empat sekeluarga, walaupun pada firasat saya, Proton Prevé mempunyai ruang but yang lebih besar. Kabin selesa dan senyap, walaupun tayar berprestasi tinggi digunakan. Kadar keselesaan dari segi ruang pada hemat saya boleh dikatakan mencukupi. Ia nyata lebih luas dari Civic tetapi tidak mampu menyaingi Camry atau Accord. Ruang kaki belakang cukup luas – saya mampu bersila di atas lantai, tapi mungkin kerana saiz saya yang sedikit comel.

Untuk mereka yang kaki memandu, stereng Kizashi memberikan keyakinan untuk mengambil selekoh dengan laju. Suspensi depan mungkin akan menjunam sedikit tetapi ia tidak mudah untuk understeer. Brek, pusing stereng dan ekornya akan mengikut dengan selamba. Tiada buaian atau olengan, dan jika jalan tidak begitu rata, ekornya tidak memantul-mantul seperti kereta yang menggunakan suspensi torsion beam. Kizashi menggunakan suspensi belakang dari jenis multilink yang selalunya terdapat di dalam kereta kereta prestasi.

Prestasi brek turut membuatkan saya rasa teruja. Pedal brek mudah dikawal dan memberikan tindak balas yang linear. Saya cuba membrek kuat di dalam garisan lurus dan ekornya tidak terasa hendak membuai. Di selekoh, saya berani membuat late and trail braking, hanya kerana suspensi yang begitu mantap dan brek Akebono yang dirasakan amat ideal.

Transmisi CVT ini diberikan pilihan manual 6-kelajuan (preset speeds), namun seperti transmisi CVT dengan nisbah palsu yang lain, saya rasa lebih sesuai diletakkan ke mod D sahaja dan biarkan transmisi itu bekerja sendiri. Ia tidak sebising CVT yang digunakan oleh Mitsubishi dan secara jujur, tidak ramai yang akan mengecam ia adalah sistem CVT kerana terasa cukup senyap dan lancar.

Tahniah untuk Suzuki kerana berjaya mencapai tahap global yang membuka mata ramai pemain lain. Di Malaysia, harganya mungkin tinggi untuk membolehkan SMA mencapai jualan yang memberangsangkan tetapi bagi anda yang mahukan sebuah sedan prestasi, cuba pandu uji Kizashi – saya pasti anda akan tersenyum di akhir sesi tersebut.

Wallahuallam.

Jom “LIKE” page Auto Anda facebook Auto Anda

KLIK UNTUK BESARKAN IMEJ

Spesifikasi Suzuki Kizashi Sport

Enjin: 2,393cc, 4-silinder, 16 injap, DOHC

Transmisi: CVT dengan 6-kealjuan preset (with paddle shifters)

Kuasa maksimum: 176hp @ 6,500 rpm

Tork maksimum: 230Nm @ 4,000 rpm

Harga: RM158,188 (Sport) – atas jalan termasuk insurans.

20 thoughts on “Pandu Uji: Suzuki Kizashi Sport

  1. gua tetap pilih preve…lg menyerlah…tp ye la,suzuki ni brand dr jepun, rmai rkyat m’sia akan ckp kizashi ni lg cntik exterior & interior b’banding preve…

    t’ingat dialog penyampai radio dlm citer sarjan hasan…”askar2 jepun telah mendarat di kota bharu….”

    • sokong Proton Preve’ apalagi 2 Preve = 1 Kizashi. cumanya Kizashi ni orang kata size C tapi nak masuk size D. kira size C paling besar la. maybe kalau kurang sikit harga agak bagus

    • aarrr…..bertahan preve….bertahan…. 😛

  2. a BIG small car

  3. La, kalau nak baca cerita Proton aje, pergi la ke http://www.protonedar.com kan!

  4. aku dah tgk kereta ni…secara amnya, ia berada dalam kelasnya yg tersendiri. Walaupun suzuki terkenal dgn swift nya, namun, aku yakin mereka takde masalah nak tune ride and handling bagi “kereta besar” mereka ni. Lagi pun swift sport terkenal di Eropah.

    Kualiti pemasangan dan kekemasan dalaman amat memuaskan hati. Memang sesuai dgn peranan kizashi sbg model premium suzuki. Cuma, kalau pemilik tu “berhati tua”, mungkin dia tidak minat dengan kemasan dashboard yg tiada unsur2 “kayu” dan “beige color”. kereta ni lebih kepada konsep “sport sedan esklusif” seperti Mazda 6.

  5. tgk sketch kizashi ni dulu nampak lg gah dan lawa..tp bila kuar model btul, mcm kuren plak..
    158k compared dgn 73k, dgn kuasa enjin & teknologi yg tak jauh beza…hrmm…..i will think twice la kalu nk beli kizashi ni..
    tp datuk zainal dah resign…camne laa ngan model2 akan dtg proton gamaknye..

  6. aik kereta mahal pun guna style bonet belakang saga ker.. jimat tul costing… satu jer tak minat style nie bila nak tutup bonet.. besi tu akan terkena pada barang yg kita bawak.. nak nak barang yg besar dan bonet penuh…

  7. Mana laaaa boleh compare dengan Proton. Itu macam bandingkan Maggie Mee dengan spagehtti kat Mandarin Oriental la. Kalau korang bawak kedua kereta tu back to back (Preve and Kizashi), gua berani sunat sekali lagi kalau lu kata itu Proton sama terror. Give credit where it is due, jangan la kita taksub. Proton is a good car, but is no where compared to this Kizashi. The Suzuki is a more refined car. Orang luar kalau baca statement korang tu, gelak sakan dia orang! Bandingkan la benda yang sama, apple to apple. Dengan Vios ke, 208 Sedan tu ke, Fiesta sedan ka…. ini dengan Kizashi. Aiyaaaaaaaa.

    • vios, 208, fiesta bang sebut tu segmen B la. lagi la tak sama level.
      Kizashi ni walaupun masuk segmen D tapi saiz nya lebih mirip saiz kereta besar segmen C.

      1-wheelbase beza 50 mm je ngan Proton (5 cm).
      2-CVT pun sama cam Proton. tp Proton up sikit ngan 7 speed ratio
      3-teknologi pun lbh krg Proton tp Proton up sikit ngan DRL + auto rain/ light sensor
      4-saiz boot pun kalah ngan Proton
      5-enjin gua ngaku ni part Suzuki menang
      6-ride and handling. test 2-2 kereta baru tau
      7-interior. 2-2 ok. dasboard, stereng i minat Preve tapi rekaan pintu ngan seat (leather seat), i mengaku i vote Suzuki

      so bezanya tak da la besar sgt. bg i Suzuki ni memang layak nak banding ngan Preve. plus 2 Preve = 1 Suzuki Kizashi. rasa lbh krg cam Jetta la ini Kizashi. tak menghampiri Passat pun. Citreon C5 rasa mewah lagi saiz pun lbh krg sama

      kalau nak segmen D alang2 baik ambil saiz besar terus macam Kia Optima ke, Hyundai Sonata ke, taupun budget lebih Ford Mondeo atau Peugeot 508.

      • aku tak berani lagi nak banding dgn preve..sebab tak tgk lagi kualiti pemasangan preve macamana. Cuma apa yg boleh aku katakan bila masuk dalam kizashi ni, kita boleh tgk finishing dia “top notch”. susah nak tgk “gap” pada pemasangan setiap bahagian. tapi ada jugaklah suis2 kecil yg nmpk murah.

        Dan pada pandangan aku, kereta ni bila tgk exterior dia, tak nampak mcm kereta mahal..tu yg tak best.

      • kizashi dalam kelasnya tersendiri, walaupun sales tak boleh nak beat camry & accord, tapi boleh dipertimbangkan model ini dulu sebelum buat keputusan ambil model lain…preve bukan la saingan dia

  8. Apa la punya tahyul….kalau nak banding size, baik aku cakap kita compare Preve dengan Mercedes Benz C200 CGI kan. Belum bawak dah boleh bagi decision. Hanyut hanyut hanyut. Mungkin aku salah. Preve ini dalam C segment, jadi aku perlu bandingkan dengan F30 baru. Viva pulak, kita compare dengan Cygnet. Dan nanti keluar itu P3 22A, kita compare lah dengan CT200h ke, eh, silap! Proton power, kita banding terus dengan Impreza STi la…pasti Proton menang! Hahahaha! Proton memang bagus dalam ride and handling, tapi refinement, that final bit where it matters most, itu Proton belum boleh lagi buat. Tapi ye lah, siapakah aku nak cakap Proton itu tak perfect sebab ada dewa kereta di sini yang gila pakar! Gua tabik sama lu. Memang power!

  9. Kalau tak boleh nak beza kualiti antara suzuki, volkswagen and proton, saya rasa kami semua memangdah tahu tahap pemikiran anda dan komen anda memang kami tak akan pandang la.

  10. gua dh tgk kizashi.
    tapi tk sempat nk test drive lagi.
    bagi gua, kizashi ni kereta yg sesuai untuk pilihan alternatif selain dari model2 yg dh belambak di malaysia.
    sesiapa yg nk beli kereta baru dan nak lain dari yg lain, belilah model ini. sudah tentu ia model yg segar dan gah.
    kizashi ni sesuai untuk sebuah keluarga yang pemandunya santai.
    kemasa dalaman dan ada aircond vent di seat belakang.
    juga sedih kerana proton melalui proton preve tidak ada aircond vent di seat belakang walaupun dah tahu cuaca mlaysia sekarang panas yang tak menentu.

    ruang dalam juga bebas dan kemas.
    design luaran memang cantik dan nampak tegap.
    cuma nampak sedikit design budak2 hingus apabila skirt belakangnya digabungkan dengan lubang ekzos. nampak meloyakan apabila ekzos terkeluar daru skirt body.

    kat malaysia ni, honda dan toyota yg belambak atas jalan. selain kizashi, model2 dari vw, mazda, peugoet, chevvy juga diharap berkembang jualan, servis dan resale valuenya. boring la asyik huruf T dan H kat malaysia ni.

    2.4, roadtax nak renew tiap2 tahun plus insurans…hanya poket pemiliknyg mampu berkata kata.

  11. nak letak mana kelas kizashi, mgkn kat D- atau C+ , mcm persona dgn preve, mgkn aku letak preve kat C- , persona kat B+ , bkn mcm sblm ni preve kat B+ kecuali persona dah eol. strategi pengeluar kereta, dgn letak kat antara segmen dengan +/- , boleh ‘makan’ sikit kat antara dua2 sgmen tu, mcm preve bole ambik sikit pasaran city/vios dan jugak pasaran civic/forte/altis. nak ‘makan’ pun ada strategi jugak, main kat harga dan spesifikasi. kizashi boleh ‘makan’ sikit pasaran camry/accord dan civic/forte/altis, boleh tonjolkan spek kereta ni lbh sporty dan spek lain yg menarik

    klu proton dah keluar kereta segmen pengganti perdana atau yang lebih sikit dari inspira, baru boleh bndg dgn kizashi, bole je bndg spek skrg dgn preve tapi dah lain segmen

    ada org yang tak perlu performance, tak kisah pun enjin tak power sbb most time hanya angkut 2 org je, ruang kabin atau boot pun tak kisah sbb tak bw brg banyak, angkat sx4 je, mcm kizashi mgkn utk yg mampu beli kereta segmen D tapi nak lebih sporty dan tak kisah kalau ruang kereta lbh kecil daripada camry/accord

  12. Kizasi ni Lampu headlamp dia ‘Made in Bayan Lepas’ Penang untuk semua production keta ni worldwide

    At least Suzuki ada gak support buatan Malaysia..

    Toyota atau honda?

  13. pershsh!
    berkenan betul aku dgn kizashi ni.
    lagi2 kaler putih. tukar rim sukan kaler hitam, lowered skit, fuh.. meleleh.
    silap takda manual plak utk malaysia.
    kalau obersea ada gear manual.

  14. baik ambik Optima K5 daripada kizashi ni bazir jer kot.. hehe

Tinggalkan Jawapan kepada akupunya Batal balasan