funtasticko design

http://funtasticko.net

Boon Siew Honda perkenalkan CBR1000RR & CRF250L baharu

* CBR1000RR baharu – sebuah motosikal Super Sports yang didefinasi melalui pecutan dan kawalan maksimum
* CRF250L baharu – sebuah motosikal Dwi-Guna untuk tunggangan di bandar dan pengembaraan di laluan off-road

Kuala Lumpur, 14 Ogos 2012 – Boon Siew Honda telah memperkenalkan dua motosikal berprestasi yang baru – motosikal Super Sports berkuasa CBR1000RR serba baharu dan motosikal Dwi-Guna lasak iaitu CRF250L. Kedua-dua model itu akan didapati di semua bilik pameran Impian Honda.

“Tawaran berkembar ini akan mampu memenuhi kehendak peminat motosikal yang memiliki profail berbeza. Satu tawaran motosikal untuk kegunaan lasak dan kasar, manakala satu lagi motosikal menawarkan kualiti kawalan sepenuhnya. Penting untuk dinyatakan bahawa  kedua-dua model ini dibina atas teras merealisasikan impian,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Satoshi Okada.

CBR1000RR baharu Superbike yang direka untuk pengendalian tepat, sesuai di litar lumba dan tunggangan harian

CBR1000RR baharu dicipta untuk peminat tegar motosikal yang mahu menunggang pada kelajuan tinggi dengan kawalan maksimum. CBR1000RR baharu menggabungkan prinsip-prinsip dimensi kompak, kerangka yang ringan dan bergaya serta pemusatan jisim.

Walaupun CBR1000RR baharu mengekalkan enjin empat lejang DOHC empat silinder inline bersesaran 999cc bersama system penyejuk cecair yang penuh kuasa, penetapan suntikan bahan api PGM-DSFI yang baru menjadikan tunggangan lebih lancar dan mudah untuk dikendalikan. Sementara ciri bantuan klac luncur pula meningkatkan kestabilan kerangka apabila kelajuan jentera diturunkan dan mengambil selekoh.

Penetapan suspensi baharu menawarkan maklum balas yang lebih tepat dan lancar. Ia direalisasikan menerusi suspensi Kusyen Belakang Imbangan Bebas Showa yang menggunakan rekaan tiub berkembar. Suspensi Hadapan Omboh Besar itu mengaplikasikan teknologi Showa, ia berperanan mengurangkan tekanan dalaman untuk proses redaman yang lebih lancar dan meningkatkan kestabilan sewaktu brek ditarik dengan keras. Roda Sporti aluminium 12 jejari yang elegan menyediakan  ketegaran lebih konsisten dan berkolaborasi dengan suspensi bagi meningkatkan kualiti pengendalian.

Kerangka aluminium dengan imbangan ketegaran optimum yang terdiri daripada empat bahagian pada CBR1000RR baharu mengimbangi aspek kekuatan, ketegaran dan ringan yang sememangnya diperlukan bagi menawarkan kualiti pengendalian terbaik serta nisbah kuasa kepada berat yang ideal.

Kerangka itu juga menyumbang kepada pemusatan jisim, satu ciri tipikal buat jentera lumba dan motosikal jalanan Honda. Honda Eletronic Steering Damper (HESD) generasi kedua memberikan kestabilan ketika jentera ditunggang laju dan responsif apabila jentera diperlahankan.

Paparan LCD multi-fungsi memaparkan pelbagai maklumat termasuklah posisi gear, suhu cecair penyejuk dan kelajuan. Sementara takometer yang boleh diubah pula mudah dibaca dalam apa jua kondisi cahaya. Takometer itu memaparkan rpm dalam empat mode -Tradisional, Songsang, Capaian Puncak dan Penunjuk Tunggal. Penunjuk LED penukaran lima tahap pula memaparkan rpm yang telah ditetapkan terlebih dahulu (preset) – ia amat berguna untuk memaksimumkan prestasi dan memastikan penukaran gear dapat dilakukan secara optimum.

CBR1000RR boleh didapati mulai 14 Ogos 2012 dalam warna Putih Mutiara pada harga bersih RM96,500.00 serta warna Merah Victory dan Grafit Hitam pada harga bersih RM95,900.00. Para pelanggan juga boleh memilih varian CBR1000RR C-ABS baharu yang dilengkapi sistem kawalan elektronik ciptaan Honda iaitu sistem brek Combined Anti-Lock Brake System pada harga bersih RM107,600.00 untuk warna Putih Mutiara. Manakala, RM107,000.00 untuk warna Merah Victory dan Grafit Hitam.

CRF250L baharu Jentera Dwi-guna yang menawarkan tunggangan hebat di atas jalan raya dan keseronokan di laluan sukar

CRF250L baharu merupakan imej kepada kelasakan dan versatiliti – ringan, lincah dan memiliki reka bentuk yang ergonomik. Dibina berdasarkan kepada lagenda siri motosikal XL, motosikal pelbagai guna ini menggabungkan prestasi off-road untuk pertandingan dengan pengendalian responsif dan praktikal. CRF250L baharu dilengkapi casis kerangka besi buaian separuh berkembar yang tegar dan kukuh yang diperlukan untuk tunggangan di laluan off-road.  Reka bentuk tapak roda memberikan jentera ini tahap kestabilan dan kelincahan yang terbaik. Sementara subkerangka besi yang nipis itu berupaya menyokong dua orang dewasa dan muatan barangan seberat 5kg.

Kerangkanya dipasang dengan enjin empat lejang DOHC silinder tunggal bersesaran 250cc bersama sistem penyejuk cecair yang baru dibangunkan. Enjin itu mampu menjana kuasa tork yang konsisten pada putaran enjin (rpm) rendah, di samping prestasi mengagumkan pada rpm tinggi. Ini menjadikan hantaran kuasa lebih seimbang di sepanjang julat rev yang luas. Enjin kompak dan ringan itu juga begitu responsif, berikutan dimensi dalaman pendikit badan dan paip ekzosnya. Kecekapan kebuk pembakaran ditingkatkan melalui penggunaan palam pencucuh iridium, di samping ukuran meter bahan api yang tepat daripada sistem suntikan bahan api PGM-FI.

CRF250L baharu mempunyai kotak gear enam kelajuan dan klac yang direka untuk menghadapi tekanan ekstra ketika menunggang di jalan off-road. Dengan reputasinya sebagai jentera off-road, CRF250L baharu mempunyai kemampuan pengendalian mengagumkan, selain berupaya mengekalkan keseimbangan serta ketegaran yang sesuai untuk kegunaan di atas apa jua permukaan jalan raya dan kelajuan.  Bar pemegang yang kukuh menyediakan postur tunggangan yang menegak dan relaks, bersama penuilan lebar dan sudut pusingan 45¡ menawarkan putaran membelok yang bagus – ia berguna ketika meredah kesesakan jalan raya atau laluan sempit.

Sistem brek yang ada padanya telah ditala untuk menawarkan kawalan lebih baik. Ciri itu membuatkan pengendalian lebih tepat dan memberi kawalan sepenuhnya kepada penunggang. Suspensi belakang Pro-Link dan penyerap hentakan Showa, bersama roda CRF250L bersaiz 21 inci untuk roda hadapan dan roda berukuran 18 inci (belakang) menambah kualiti kawalan, selain meningkatkan kestabilan ketika di atas jalan yang kasar.

Tangki bahan api yang nipis itu boleh menampung sehingga 7.7 liter petrol. Tempat duduk rata yang selesa pula menawarkan pilihan posisi tunggangan untuk kawalan maksimum. Tinggi tempat duduk ialah 875mm.

Sistem penyejukannya menggunakan radiator pelebas haba 10.7kW bersama gril polipropilena untuk meningkatkan aliran udara. Kipas penyejuk nipis pula digunakan untuk mengekalkan suhu, walaupun ditunggang pada kelajuan rendah, ia sangat berguna apabila menunggang di jalan raya yang sesak atau laluan off-road yang mencabar.  Emisi karbon diuruskan oleh alat pengesan O2 Lambda, yang berfungsi bersama satu sistem suntikan udara membolehkan motosikal ini mamatuhi peraturan emisi Euro III. The Honda CRF250L boleh didapati pada akhir bulan Ogos dalam warna Merah Menyala pada harga bersih RM22,688.00.

Maklumat lanjut, sila layari laman web http://www.boonsiewhonda.com.my atau hubungi nombor Tol Percuma Boon Siew Honda di talian: 1800-88-3993 (Isnin hingga Jumaat, 9 pagi – 5 petang, kecuali cuti umum).

Komentar ditutup.